NASIONAL

TPM ketuai inisiatif perkemas sistem perlindungan sosial

Oct 9 2019 / Keadilan Daily

Majlis Perlindungan Malaysia (MySPC) diaktifkan semula sebagai badan induk penyelarasan dasar dan program perlindungan sosial negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kementeriannya diberi mandat mengetuai Jawatankuasa Kerja Bantuan Sosial melalui MySPC.

Entiti itu yang diurusetiakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bertujuan untuk mengemaskini Sistem Pangkalan Data Nasional Perlindungan Sosial Negara.

"Mesyuarat MySPC akan diadakan pada 3 Disember 2019 bagi membincangkan draf Pelan Induk Perlindungan Sosial Kebangsaan serta cadangan-cadangan berkaitan," jawapan beliau kepada pertanyaan lisan di Dewan Rakyat dipetik.

Pagi tadi, Anggota Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah mahu penjelasan menteri mengenai Pelapor Khas PBB yang menyifatkan sistem perlindungan sosial di bawah JKM sebagai tidak bersepadu.

Dr. Wan Azizah berkata, bagi menangani masalah kekurangan kakitangan pekerja sosial, kementerian telah mula berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar perkara ini dapat diselesaikan.

“Kementerian juga bercadang untuk meningkatkan kolaborasi bersama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan kumpulan sasar menerima perlindungan sewajarnya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Akta Profesion Kerja Sosial bakal dibentangkan di Dewan Rakyat pada Disember ini.

Dr. Wan Azizah berkata, rang undang-undang ini bakal mengukuhkan lagi peranan dan keberkesanan perkhidmatan profesion itu agar bertepatan dengan cabaran masalah sosial yang semakin kompleks.

"Bagi menangani masalah kekurangan kakitangan pekerja sosial, Kementerian telah mula berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam agar perkara ini dapat diselesaikan," Ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Anggota Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh pada Sidang Dewan Rakyat mengenai jumlah pekerja sosial JKM dan nisbahnya berbanding dengan statistik ideal antarabangsa.