NASIONAL

TPM ucap takziah pada keluarga budak jatuh lubang

Oct 9 2019 / Keadilan Daily

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail mengucapkan takziah kepada keluarga kanak-kanak lelaki yang mati selepas terjatuh dalam lubang kumbahan tidak berpenutup.

“Takziah buat keluarga Allahyarham adik Mohammad Anas Hadif Ahmad Hafiz. Saya doakan keluarganya tabah menghadapi dugaan ini,” kata Timbalan Perdana Menteri itu menerusi Twitter.

Anas Hadif yang berusia tiga tahun ditemukan lemas selepas terjatuh dalam lubang kumbahan di Kuarters Polis Jalan Pasir Puteh, Ipoh semalam.

Dalam kejadian itu Anas Hadif Ahmad Hafiz ditemukan anggota penyelamat pada kedalaman dua meter dalam lubang terbabit.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Mohd Fadzeli Che Hussin berkata, seramai 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.16 pagi.

“Anggota bertindak menggunakan pam untuk mengeluarkan sebahagian air kumbahan untuk memudahkan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Seorang anggota dipakaikan abah-abah dan tali untuk mencari mangsa di dalam lubang terbabit pada kedalaman dua meter dan menemui mangsa pada jam 9 pagi,” katanya.