NASIONAL

KEADILAN serah kes Farhash kepada pihak berkuasa

Sep 5 2019 / Haizir Othman

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menyiasat insiden membabitkan Pengerusi KEADILAN Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, parti belum membincangkan secara khusus tindakan yang bakal diambil ke atas Setiausaha Politik (Setpol) Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

"Tak dibincangkan. Jika ada sebarang dakwaan dibuat di mahkamah, kita akan biar proses itu berjalan."

“Selepas itu, mungkin parti boleh mengambil pendirian,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu pada sidang media selepas mesyuarat Biro Politik KEADILAN di ibu pejabat parti, semalam.

Farhash disyaki terlibat dalam kes rusuhan bersenjata di Kompleks Sukan Arena All Stars, Ampang, Kuala Lumpur pada malam 31 Ogos lalu membabitkan 12 lelaki tempatan.

Dalam kejadian itu, seorang pengadu mengalami kecederaan koyak di bahagian tisu pinggang, luka di bahagian anggota badan serta sakit di bahagian kemaluan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat memaklumkan tiga suspek berusia dari 26 hingga 35 tahun ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Farhash selaku suspek utama kejadian belum menghadirkan diri ke balai polis bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim turut menasihatkan Setpolnya supaya berjumpa pihak polis berhubung dakwaan kes berkenaan.

"Ya, dia sepatutnya (jumpa dengan polis) sekalipun jika dia menarik semula laporan polis yang dibuatnya," katanya, memetik media.

"Dia mesti berjumpa dengan polis dan telah dinasihatkan (berbuat demikian)," katanya.