NASIONAL

Beli barangan Malaysia, jangan boikot barangan bukan Islam

Sep 5 2019 / Keadilan Daily

Kabinet menolak kempen memboikot barangan keluaran bukan Islam dan menyifatkan kempen itu sebagai tidak wajar selepas bermesyuarat dengan Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Jemaah menteri menolak pemikiran dan pendirian sempit berasaskan sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara.

“Sebaliknya rakyat diseru untuk menyokong kempen beli barangan buatan Malaysia kerana ia akan memberi kebaikan kepada negara,” kenyataan Jabatan Perdana Menteri dipetik.

Kempen “beli produk Muslim dulu” semakin rancak di media sosial sejak akhir ini dengan penubuhan Kumpulan Facebook yang mencecah satu juta keahlian.

Kempen itu menggunakan nama Persatuan Ekonomi Muslim Malaysia.