NASIONAL

Generasi Muda Bertanggungjawab Menjaga Perpaduan Malaysia

Sep 4 2019 / Haizir Othman

Oleh AKMAL NASIR

Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak isu-isu yang timbul yang telah menyebabkan ketidaksenangan hati dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkenalkan penulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) telah menimbulkan ketidakpuasan hati dalam segelintir kelompok masyarakat.

Selain itu, petikan ceramah Dr Zakir Naik yang didakwa telah menyentuh sensitiviti kaum bukan Melayu di Malaysia membuatkan pergeseran antara kaum dan agama semakin meruncing. Sehinggalah Dr Zakir Naik tampil membuat permohonan maaf secara terbuka bagi meredakan kembali kemarahan rakyat Malaysia.

Malah, kesempatan ini telah digunakan dengan ‘sebaiknya’ oleh pihak pembangkang seperti Umno dan Pas untuk menunjukkan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan dalam mewujudkan masyarakat Malaysia yang harmoni dan bersatu padu.

Perpaduan faktor capai negara maju

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sebagai satu-satunya parti besar di Malaysia yang berbilang kaum sangat menitikberatkan soal perpaduan bangsa dan agama. Prinsip Keadilan yang dipegang itu telah sendirinya menyatukan anggota-anggota daripada pelbagai latar belakang di bawah satu naungan parti politik.

Sebagai generasi yang bakal menjadi pengganti kepada barisan kepimpinan pada masa hadapan, Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggalas tanggungjawab yang besar dalam memelihara perpaduan kaum di Malaysia.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, perpaduan kaum menjadi faktor penting untuk Malaysia mencapai status negara maju selain kepesatan pembangunan ekonomi.

Tambah beliau lagi, kemajuan negara bukan diukur menerusi kepesatan pembangunan ekonomi sahaja tetapi keharmonian antara kaum dan agama harus sentiasa dipelihara. Sekiranya tidak diberi perhatian ia akan menyebabkan negara menjadi mundur dan ketinggalan.

Kita dapat lihat bagaimana peristiwa 13 Mei 1969 yang telah berlaku, salah satunya disebabkan oleh kesenjangan ekonomi antara kaum Melayu dan kaum Cina dahulu. Dasar pecah dan perintah yang ditinggalkan oleh British telah menyebabkan masyarakat Melayu kekal miskin walaupun selepas Merdeka.

Akhirnya, ketidakpuasan ini memuncak dan telah membawa kepada peristiwa 13 Mei. Oleh yang demikian, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Hussein Onn memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru bertujuan untuk membetulkan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum masyarakat pada waktu itu.

Perkauman senjata pembangkang

Namun begitu, masih terdapat ruang-ruang yang boleh ditambahbaik. Walaupun masyarakat jarang menzahirkan ketidakpuasan hati melalui perbuatan dan tindakan, kerenggangan hubungan antara kaum masih wujud. Hal ini mungkin berpunca daripada prasangka yang tidak sihat yang ditanam oleh kumpulan-kumpulan yang berpandangan ekstrem.

Dalam satu kertas kajian yang bertajuk “Kajian Hubungan Etnik Dalam Kalangan Remaja Muslim”, kajian-kajian empirikal berkaitan hubungan etnik di Malaysia menunjukkan bahawa masyarakat lebih selesa untuk berada dalam etnik kelompok masing-masing.

Perkara ini bukanlah sesuatu perkara yang mengejutkan jikalau dibandingkan dengan persekitaran yang kita lalui setiap hari. Masyarakat lebih gemar memilih untuk bergaul dengan kumpulan bangsa sendiri mungkin disebabkan faktor-faktor semasa mereka dibesarkan seperti keluarga dan pendidikan.

Pasca 9 Mei 2018, rata-rata masyarakat membayangkan sebuah Malaysia Baharu dihuni oleh rakyatnya yang hidup saling hormat-menghormati, harmoni dan sejahtera. Namun, beberapa keputusan yang diumumkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sedikit sebanyak telah memalapkan impian tersebut.

Ditambah lagi dengan pembangkang seperti Umno dan Pas yang kini seolah-olah memperjungkan nasib bangsa Melayu yang kian terhakis. Pakatan Harapan tidak seharusnya memberikan peluang kepada pembangkang untuk memainkan isu perkauman. Ini kerana itulah senjata yang paling berkesan buat mereka untuk menarik kembali sokongan pengundi Melayu.

Golongan anak muda tidak kira dalam dunia politik ataupun tidak perlu memainkan peranan untuk menjurus kepada perpaduan kaum. Soal kesejahteraan negara tidak seharusnya diserahkan bulat-bulat kepada ahli politik yang berkepentingan untuk membuat keputusan.

Universiti perlu manfaatkan kebebasan

Penubuhan badan-badan bukan kerajaan yang berhaluan tengah perlu diperbanyakkan lagi bagi menarik lebih ramai pernyertaan anak muda untuk menyumbang kepada pembangunan negara, baik daripada segi idea, tenaga dan sebagainya.

Sektor pendidikan universiti yang kini lebih bebas perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh pihak universiti. Wacana-wacana ilmiah dalam soal politik, ekonomi dan sosial negara perlu dijadikan budaya bagi mengelakkan pelajar daripada terjerumus kepada fahaman-fahaman ektremis.

Setiap mesej kebencian yang dilontarkan perlu dihadapi dengan tenang dan dibalas dengan mesej keharmonian. Mereka yang berniat jahat akan bertepuk tangan jika kita bertindak balas mengikut kehendak mereka.

Oleh yang demikian, AMK komited untuk terus menjamin keharmonian kaum yang telah wujud sejak sekian lamanya. Dalam organisasi AMK sendiri, setiap etnik atau kaum diberi peluang untuk menjadi pemimpin atau ketua jika mereka berkelayakan dan bersikap adil.

Hari Kebangsaan bukan disambut dengan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang. Sebaliknya, ia adalah peringatan kepada setiap rakyat Malaysia untuk menghayati sejarah pemimpin-pemimpin terdahulu dalam menyatupadukan seluruh bangsa bagi membentuk sebuah negara yang bernama Malaysia.

Saya berharap Kemerdekaan yang ke-62 ini dapat disambut dengan lebih bermakna. Semoga masyarakat Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan sebagainya dapat sentiasa menghargai nilai keamanan dan kemakmuran yang telah kita kecapi selama ini di Malaysia.

 

Penulis adalah Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan Anggota Parlimen Johor Bahru.