NASIONAL

Anwar: Promosi produk Muslim jangan sampai menjurus perpecahan

Sep 3 2019 / Keadilan Daily

Kempen beli produk Melayu Muslim perlu disertai dengan tawaran produk yang benar-benar berkualiti dan tidak dicemari anasir perkauman.

Seruan itu dibuat Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim dalam komennya terhadap kempen membeli barangan Melayu Muslim yang hangat menjadi perbualan di media sosial.

"Jika anda mahu promosikan produk halal, ia boleh diterima. Tetapi jika anda mempromosikan perpecahan sebegini dan isu yang panas antara kaum, ia tak sihat.

"Sebagai Muslim, mustahak bagi kita untuk tampilkan produk yang betul-betul bagus, yang kebetulan produk Muslim, dan diterima semua," kata Anwar kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Antarabangsa Keenam Sejarah dan Budaya di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) di Kuala Lumpur.

Menurut Anwar lagi, orang Melayu tidak perlu gusar untuk menggunakan produk etnik lain kerana sikap sedemikian tidak sihat dalam masyarakat berbilang kaum.

"Ada juga produk yang Melayu perlukan tetapi dihasilkan orang Cina, maka ia dibenarkan.

"Maka, konotasi perkauman yang digunakan pada saya adalah tidak sihat dalam masyarakat yang majmuk begini," katanya.

Anwar turut mengingatkan agar semangat kemelayuan sentiasa dipandu oleh nilai-nilai Islam.

"Semangat kemelayuan boleh bertukar menjadi sangat cauvinistik tanpa nilai-nilai Islam seperti keadilan, ehsan, dan kemanusiaan.

"Jadi, anda perlu faham dan akur dengan hakikat bahawa menjadi seorang Melayu yang baik itu bererti menjadi Muslim yang baik.

"Ini kerana, kemelayuan yang lompong pengisian Islamnya adalah satu konstruk perkauman semata-mata," katanya.