NASIONAL

Tiada laporan boikot barangan bukan Bumiputera berkesan

Sep 2 2019 / Keadilan Daily

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail berkata pihak kementerian tidak menerima sebarang laporan mengenai kesan boikot barangan bukan Bumiputera yang berlangsung menerusi media sosial.

“Tiada menerima apa-apa maklum balas sama ada ia telah berjaya atau ada kesan, (malah) dalam perjumpaan dengan persatuan atau pertubuhan pemborong dan peruncit semua macam biasa (tidak dibangkitkan),” katanya.

Beliau sebaliknya percaya, rakyat Malaysia seharusnya mendukung kepelbagaian masyarakat terutamanya dalam soal ekonomi.

“Teras kepada kemakmuran negara ini adalah sifat saling hormat-menghormati dan mempercayai antara kita termasuklah ketika menjalankan urusan ekonomi.

“Sifat saling mendukung ini akan membantu aktiviti ekonomi negara dan menjadikan negara lebih unggul,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Karnival Jualan i-Keep di Pantai Dalam, Kuala Lumpur hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan gerakan memboikot itu dan menyifatkan perkara itu hanya dilakukan oleh mereka yang berfikiran cetek.