NASIONAL

Aminuddin saran usahakan tanah terbiar untuk pertanian

Sep 2 2019 / Keadilan Daily

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun menyarankan orang ramai supaya mengusahakan tanah terbiar di negeri tersebut bagi mengembangkan lagi sektor pertanian.

Aminuddin berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan perlu bertindak sebagai pemudahcara dengan memberikan bantuan, latihan, serta pemasaran produk.

"Kita nak jadikan pertanian dan industri asas tani sebagai sumber pendapatan yang mampan, kukuh serta menguntungkan.

"Kita hendak galakkan golongan belia ceburi bidang keusahawanan agro makanan bagi memperbanyakkan lagi pelapis dan usahawan baru," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Industri Asas Tani (IAT) @ Negeri Sembilan 2019 di Mydin Senawang, 30 Ogos lalu.

Turut hadir adalah Exco Negeri Sembilan iaitu Bakri Sawir, Dr Mohamad Rafie Ab Malek, dan Mohamad Taufek Abd Ghani.

Sementara itu, Aminuddin berkata, rombongan usahawan Negeri Sembilan yang menyertai Malaysia Fest 2019 di Singapura pada 25 Julai lalu berjaya mengutip keuntungan berjumlah RM7 juta.

"Ini satu petanda baik kepada kita bahawa ruang cukup besar untuk eksport barang Negeri Sembilan di Singapura.

"Peluang seperti ini harus diambil oleh seluruh industri pertanian, untuk kita bangunkan terus industri ini sebagai salah satu sektor terpenting di Negeri Sembilan," katanya