NASIONAL

Perutusan Hari Merdeka Timbalan Presiden KEADILAN

Aug 31 2019 / Keadilan Daily

“... maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.” - Pemasyhuran Kemerdekaan 1957

Mari kita renung ke dalam batang tubuh dan jati diri bangsa Malaysia dan menyoal: Sejauh manakah cita-cita murni yang diungkapkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sejenak sebelum bapa bangsa itu melaungkan 'Merdeka' telah diterjemahkan menjadi kenyataan.

Membebaskan negara dari cengkaman penjajah adalah satu kejayaan besar. Setelah dijajah silih berganti oleh kuasa-kuasa Barat, dari Portugis kepada Belanda dan akhirnya Inggeris, pada 31 Ogos, 62 tahun yang lalu, tampuk pemerintahan kembali ke tangan anak watan.

Namun kemerdekaan bukan bermakna berakhirnya perjuangan. Kemerdekaan hanyalah titik permulaan projek pembangunan bangsa. Bangsa yang mahu kita bangunkan adalah mengikut acuan atau nilai-nilai yang kita kehendaki. Nilai-nilai tersebut terkandung di dalam Pemasyhuran Kemerdekaan.

Sayangnya Pemasyhuran Kemerdekaan yang naskah asalnya ditulis dalam Jawi kurang mendapat perhatian dalam wacana awam dan pendidikan kewarganegaraan. Padahal Pemasyhuran Kemerdekaan merupakan dokumen bangsa yang amat penting dan kita tidak boleh menghayati kemerdekaan tanpa memahami nilai-nilai yang tersemat di dalamnya.

Berdaulat dan merdeka bermakna kita tidak tunduk kepada telunjuk asing. Kita bangsa yang bermaruah. Dasar dan kebijakan ekonomi, sosial, kebudayaan, kepentingan nasional dan hubungan luar ditentukan oleh anak bangsa. Kita saksikan hari ini banyak negara yang merdeka tetapi dasar ekonomi, pertahanan dan hubungan luarnya berada di bawah telunjuk kuasa besar asing.

Di zaman Perang Dingin, negara-negara yang baru merdeka diheret ke dalam kancah pertarungan antara pakatan NATO dengan pakatan Warsaw. Kita tidak mahu diheret ke dalam pergelutan yang tidak menguntungkan rakyat dan negara. Kita mengambil sikap berkecuali. Kita kemukakan doktrin ZOPFAN: zon aman, bebas dan berkecuali. Ini merupakan sumbangan dan pendirian Malaysia terhadap Perang Dingin.

Setelah Perang Dingin tamat perang melawan keganasan yang dilancarkan oleh Amerika menjadi naratif utama dalam diplomasi global. Perang di Afghanistan dan perang Iraq tidak menyelesaikan masalah keganasan. Sebaliknya perubahan rejim dianjurkan oleh Amerika mencetuskan perang saudara di negara-negara Arab hingga kini.

Dengan kecekapan polis dan pasukan keselamatan Malaysia terselamat dari ancaman militanisme dan keganasan. Budaya kesederhanaan, toleransi dan saling hormat-menghormati serta inklusiviti. Di kalangan rakyat menjadi benteng daripada ancaman keganasan.

Kini dunia berada di persimpangan sejarah. Kuasa negara-negara Barat yang memenangi Perang Dunia Kedua sudah terhakis dan mula luntur. Asia pula bangkit dengan keyakinan baru. Ekonomi Asia mengatasi ekonomi Barat dan kini memberikan saingan teknologi.

Berdepan dengan situasi baru global kita perlu menggilap jiwa merdeka. Kita perlu memiliki patriotisme dalam mempertahankan ruang merangka dasar-dasar yang berteraskan kebajikan rakyat dan bukan kepentingan asing. Kita mempunyai ruang dan kewibawaan untuk menyatakan pendirian di pentas dunia.

Sejak 9 Mei tahun lalu, rakyat memberikan mandat kepada Pakatan Harapan untuk memaknai prinsip “kebebasan dan keadilan” sebagai teras Malaysia sebagai negara yang Merdeka lagi berdaulat. Cabaran ini besar dan kita perlu memiliki kekuatan moral untuk menghayatinya.

Kebebasan menuntut tanggungjawab dan perlu berada dalam kerangka undang-undang dan bingkai kesopanan dan kesusilaan. Kebebasan adalah prasyarat kepada kreativiti, namun kebebasan bukanlah anarki. Kekecewaan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei tentang peminatnya yang bercakap kasar terhadap satu sama lain kerana isu remeh boleh difahami.

Memang menyedihkan bila melihat ruang kebebasan dijadikan kesempatan untuk mencaci maki, bertegang leher, menabur fitnah dan menyemai api perkauman. Seharusnya kebebasan dijadikan ruang dan kesempatan untuk melakukan wacana dan temu tembung rasional.

Salah satu wacana rasional yang diperlukan adalah tentang keadilan. Islam meletakkan keadilan di tempat yang tinggi. Dalam kalangan ahli falsafah dari Plato hingga ke John Rawls meletakkan keadilan sebagai matlamat masyarakat dan negara. Maka amat bertepatan sekali apabila Tunku Abdul Rahman membidani kelahiran sebuah negara baru dan memasyhurkannya, Perdana Menteri pertama itu meletakkan keadilan sebagai salah satu asas utama kepada negara baru tersebut.

Sejak dari sebelum merdeka telah wujud jurang pembangunan antara kelas, etnik dan wilayah. Dasar ekonomi laissez-faire menyebabkan jurang ini meningkat. Jurang ini dilihat sebagai tanda ketidakadilan sosio-ekonomi. Meskipun sebelum ini telah ada dasar-dasar tindakan afirmatif untuk menangani jurang tersebut namun hasilnya kurang memuaskan. Justeru itu YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menggagaskan Wawasan Kemakmuran Bersama agar kekayaan negara dikongsi dengan saksama antara pekerja dan pemilik modal, antara kelas, etnik dan wilayah.

Semua pihak, sektor awam dan sektor swasta perlu memainkan peranan untuk menjayakan wawasan ini. Malaysia hari ini kaya hasil dari sumbangan masyarakat perniagaan dan pekerja dalam persekitaran mesra perniagaan yang dicipta oleh kerajaan. Kekayaan dicipta bukan dengan memiskinkan orang lain kerana penciptaan kekayaan bukanlah suatu zero-sum game atau pun seperti bidalan Melayu, “seperti perniagaan buluh kasap, dapat pangkal hujung lesap, dapat hujung pangkal lesap.”

Sebaliknya, kekayaan mencipta kekayaan yang lebih banyak dan dikongsi bersama antara pemodal dan pekerja, dengan rakan dan jiran. Konsep “prosper thy neighbour” yang digunakan dalam arena antarabangsa boleh diterapkan dalam konteks penciptaan kekayaan dalam negara.

Maka, penciptaan kekayaan oleh satu masyarakat perlu juga menghasilkan penciptaan kekayaan di kalangan masyarakat yang lain. Kekayaan wilayah tertentu juga mencipta kekayaan di wilayah lain. Melalui falsafah ini, kekayaan akan dicipta secara merata di dalam semua kelas, semua masyarakat dan semua wilayah. Inilah caranya kita akan menghasilkan pengagihan yang lebih saksama dan mewujudkan keadilan sosio-ekonomi. Ahli ekonomi Thomas Piketty menegaskan bahawa kesenjangan pendapatan bukan sahaja satu bentuk ketidakadilan bahkan boleh menggugat kesinambungan demokrasi.

Apabila kita merenung kata-kata Tuanku Abdul Rahman yang dikeramatkan di dalam Pemasyhuran Kemerdekaan: “...dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa”, kita boleh merasakan bahawa beliau seolah-olah berkata dengan rakyat Malaysia pada hari ini.

Malaysia merupakan sebuah negara berbilang bangsa, bahasa dan agama. Tetapi kita tidak melihat kepelbagaian ini sebagai satu masalah. Sebaliknya kita melihat kepelbagaian ini sebagai satu kelebihan dan kekuatan, khususnya apabila kita mendakap impian Martin Luther King Jr. agar rakyat yang pelbagai ini “...they will not be judged by the colour of their skin, but by the content of their character”.

Sejak merdeka kita telah hidup bersama dan bersaudara sebagai rakyat Malaysia. Sebagai rakyat, kita setia kepada Raja dan Negara sebagaimana yang diungkapkan oleh Rukun Negara. Marilah kita bersatu padu, bergerak sederap ke hadapan untuk memikul tanggungjawab membina bangsa dan negara.

AZMIN ALI

Menteri Hal Ehwal Ekonomi