NASIONAL

Perutusan Maal Hijrah 1441H Timbalan Perdana Menteri

Aug 31 2019 / Keadilan Daily

السلام عليكم ورحمة الله
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه أجمعين.
الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ اللَّهِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ – صدق الله العظيم.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “ (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja) dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. ” (At-Taubah:20)

Kepada seluruh rakyat Malaysia yang dikasihi, saya mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah untuk tahun 1441H.

Pada tahun ini kita menyambut dua peristiwa keramat selang sehari iaitu Ulangtahun Kemerdekaan Negara ke-62 dan Tahun Baharu Hijrah 1441H. Kedua-dua peristiwa ini amat besar ertinya kepada rakyat Malaysia amnya dan umat Islam khasnya. Kedua-dua perisitiwa mempunyai pengertian yang amat rapat dan saling berkait.

Merdeka dalam ertikata sebenarnya adalah bebas daripada menjadi hamba atau pak turut kepada penjajahan sama ada penjajahan fizikal ataupun jiwa dan pemikiran.

Hijrah juga turut membawa maksud yang sama iaitu keluar daripada belenggu jiwa dan jasad kepada kebebasan bertindak menurut acuan Allah SWT.
Saya teringat kata-kata Panglima Rib’I bin A’mir r.a. apabila diutuskan oleh Panglima Besar Muslimin Sa’ad bin Abi Waqqash kepada Panglima Besar Parsi iaitu Rustum. Kata Rustum, “apakah yang membuatkan kamu datang kemari (Qaidisiah)?” Maka jawab Rib’I r.a., “Allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dari perhambaan terhadap sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”

Itulah semangat Hijrah yang berkembang di dalam jiwa para sahabat ridhwanullahi alaihim yang dibina melalui ruh Islam lalu mereka berusaha melaksanakan semangat itu ke alam realiti.

Mereka sanggup berganding bahu melaksanakan agenda menyebarkan Islam dan keadilan sosial sejagat tanpa gentar. Para sahabat Rasulullah saw dan diikuti para tabi’en serta pejuang Islam dari zaman awal Islam ke zaman berikutnya berani berjuang menegakkan Islam dan keadilan sosial sejagat sehingga ke luar negeri-negeri semenanjung Arab kerana mereka sudah nampak hala tuju dan matlamat yang ingin dicapai. Matlamat dan wawasan itu tidak hanya untuk kehidupan di muka bumi tetapi menggapai kemuncak kebahagiaan di akhirat.

Gagasan Malaysia Baharu lahir daripada salah satu daripada cabang pengertian Hijrah ini. Kita bersama-sama berganding bahu menolak pengamal dan pendokong rasuah, kleptokrasi, nepotisme dan lain-lain lagi.

Tujuan penolakan ini bukanlah semata-mata disebabkan perseteruan politik tetapi menolak dengan semangat dan cita-cita ingin melihat sebuah kerajaan yang bersih daripada praktik-praktik songsang yang menyusahkan rakyat lalu menghancurkan negara. Inilah jihad kita; iaitu berjuang memastikan hak-hak rakyat terbela dan tiada lagi penindasan sama ada secara lahiriah ataupun secara tidak langsung.

Sesungguhnya perbuatan rasuah akan meruntuhkan sesebuah institusi masyarakat. Ia bukan sahaja perbuatan keji malah turut mengancam kestabilan negara. Sesebuah kerajaan yang gagal memerangi rasuah akan hanya mencipta kehancuran sesebuah negara.

Kita tidak harus bertoleransi walau sebesar zarah dengan mana-mana kesalahan rasuah.

Begitu juga dengan budaya extremisme dan perkauman. Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang mengamalkan perpaduan sebagai teras, tentunya budaya extremisme dan perkauman akan menjejaskan keharmonian masyarakat.

Maka memupuk semangat perpaduan berteraskan keharmonian dan muafakat haruslah disemai demi menjamin masa depan negara dalam meraikan semangat Malaysia baharu.

Saya berseru untuk kita bersama-sama berganding bahu tanpa jemu dan putus asa untuk membina Malaysia Baharu dengan tema Maal Hijrah tahun ini “Negara Rahmah Ummah Sejahtera”.

Sekian, wabillahit tuafiq wal hidayah, wassalamua’laikum wrt.