NASIONAL

Dr M rayu media elak sensasikan isu perkauman

Aug 30 2019 / Keadilan Daily

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad merayu pihak media agar tidak memperbesarkan sentimen perkauman dalam pemberitaan mereka.

Menurutnya, kerajaan boleh mengawal isu tersebut namun, ia sukar ditangani jika merebak sehingga mencetuskan permusuhan kaum.

”Kita dapati ada pihak yang suka menggembar-gemburkan soal kaum, soal agama dan macam-macam lagi.

”Benda ini semua boleh diselesaikan kerajaan dalm Kabinet tetapi oleh kerana banyak laporan-laporan yang menimbulkan kemarahan maka isu ini menjadi besar dan ia memisahkan kaum-kaum dalam negara kita.

”Sebab itu saya mintalah, saya rayulah pada media janganlah main isu perkauman.

”Kalau nak buat laporan, laporlah benda yang benar.

”Saya khuatir permusuhan antara kaum, antara agama, kalau dah berlaku amat sukar untuk kita padamkan,” katanya pada siding media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, petang ini.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau yakin Pakatan Harapan tetap akan menang pilihan raya umum jika ia diadakan sekarang.

”Kita yakin walaupun ada yang kata kita akan kalah, kita yakin kalau kita bertanding hari ini pun kita menang juga.

”Tak ada siapa yang nak ambil balik Datuk Seri Najib. Datuk Seri Najib kita tahu sauk duit banyak,” katanya merujuk bekas perdana menteri Barisan Nasional yang kini berdepan tuduhan salah guna kuasa dan pelaburan wang haram di mahkamah.