NASIONAL

Anwar anjur seminar bincang isu kemiskinan

Aug 30 2019 / Keadilan Daily

Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim menerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen akan menganjurkan seminar untuk membincangkan kadar kemiskinan di negara ini.

Anggota Parlimen Jeli, Mustapha Mohamad diamanahkan Anwar untuk memastikan seminar itu berlangsung sebelum sidang Parlimen yang seterusnya.

”Jawatankuasa ini bersetuju untuk mengadakan satu seminar khas yang akan dipengerusikan Datuk Mustapha Mohamad untuk mengundang semua ahli Parlimen, senator, wakil-wakil ahli Dewan Undangan Negeri, wakil NGO dan pakar akademik, dan juga wakil rakyat akar umbi.

”Satu perkara yang saya tekankan berulang kali, inilah wacana yang harus kita kembangkan di negara kita.

”Isu kemiskinan yang merentas kaum yang dihadapi oleh majoriti Melayu Bumiputera tetapi yang juga dihadapi oleh masyarakat India, kelompok Cina miskin,” kata Anwar pada

sidang media selepas Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, di Parlimen, hari ini.

Menurut Anwar, seminar tersebut wajar mengambil semangat bulan kemerdekaan untuk mengangkat taraf hidup rakyat.

”Kalau kita boleh gunakan semangat kemerdekaan ini dan menumpukan suatu hal yang boleh menyelamatkan negara, menyatu-padukan rakyat, mari kita bersama bersatu untuk menyelesaikan masalah masyarakat miskin.

”Jadi kita bermuafakat untuk mengurangkan derita rakyat.

”Ini baru kita beri makna kemerdekaan. Kemerdekaan bukan kita sambut dan dibanggakan golongan atasan yang berkedudukan tetapi seperti mana kanji kemerdekaan, untuk memberikan keselesaan, kebahagiaan kepada rakyat,” katanya.

Pada 23 Ogos lalu, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Dr Philip Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara iaitu 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah, iaitu dengan Garis Pendapatan Kemiskinan (PLI) RM980 sebulan bagi setiap isi rumah.

Alston dilapor berkata, kadar kemiskinan sebenar Malaysia ialah kira-kira 15 peratus yang hampir dengan negara lain.

Laporan itu susulan lawatan sebelas hari Alston ke pangsapuri kos rendah, pusat orang kurang upaya, komuniti orang asli dan sekolah di Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Sabah, dan Kelantan.