NASIONAL

Anwar: Saya tak tawar diri pun sertai Kabinet

Aug 30 2019 / Keadilan Daily

Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim menjelaskan yang beliau tidak pernah menawarkan diri untuk menyertai Kabinet.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas kenyataan perdana menteri yang berkata Anwar tidak tersenarai dalam pertukaran portfolio Kabinet yang akan diumumkannya tidak lama lagi.

”Saya tak pernah tawar diri sendiri sebagai ahli Kabinet. Saya tertakluk kepada konsensus Pakatan Harapan.

”Saya akan memberi ruang sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir untuk memimpin Kabinet.

”Saya hanya akan ambil alih apabila masanya betul.

”Tiada isu sama sekali tentang sama ada saya ingin menyertai pentadbiran sekarang - amat jelas, ” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, di Parlimen, hari ini.

Dr Mahathir pada 22 Ogos lalu mengumumkan tentang perbincangan berkenaan pertukaran portfolio menteri.