NASIONAL

Perutusan Hari Gawai Anggota Parlimen Lubok Antu

May 15 2019 / Keadilan Daily

Perayaan Hari Gawai Dayak disifatkan perayaan paling siginifikan kerana ia diraikan bukan sahaja oleh masyarakat Iban malah suku kaum Dayak lain yang terdiri daripada masyarakat Bidayuh serta Orang Ulu.

Hari Gawai Dayak bukan sahaja satu perayaan sebaliknya medium untuk mengukuhkan hubungan komuniti.

Hari Gawai Dayak dalam pengertiannya adalah hari kesyukuran kepada “Petara” (Tuhan) yang mengurniakan rezeki, dengan hasil tuaian yang baik setiap tahun maka Hari Gawai Dayak disambut untuk meraikan kesyukuran di atas limpah kurnia-Nya.

Hari ini perayaan Hari Gawai Dayak harus dievolusi dengan kepelbagaian kaum dan budaya untuk menghargai sumber ekonomi.

Seperti yang kita semua sedia maklum, Sarawak adalah negeri yang banyak menyumbangkan sumber ekonomi, tetapi amat mendukacitakan, Sarawak tidak menerima faedah yang setimpal sebagai negeri ketiga terkaya di Malaysia.

Berdasarkan statistik 2019, daripada 10 daerah termiskin di Malaysia, tujuh daerah adalah di Sarawak. Lubok Antu adalah salah satu daerah yang termiskin dan mundur daripada tujuh daerah di Sarawak dan daerah kesepuluh termiskin di Malaysia.

Lebih menyedihkan, majoriti penduduk di Lubok Antu adalah kaum Iban. Kebanyakan penempatan penduduk terletak berselerakan menjadikan mereka kelompok-kelompok yang kecil dan kekurangan aksess kepada pendidikan, kemudahan infrastruktur asas seperti jalan raya, sumber air bersih serta penjagaan kesihatan.

Itu perlu ubah, itu perlu diubah.

Kita tidak mahu kapitalis wujud, kita perlu bangkit dan mengubah perkara yang perlu diubah dan kita mahu segala projek pembangunan disalurkan oleh kerajaan memberi kesan dan impak peningkatan taraf hidup kepada rakyat secara inklusif dan menyeluruh.

Justeru itu, ketua masyarakat bersama pemimpin kerajaan seharusnya mempunyai tanggungjawab moral untuk berusaha mensejahterakan rakyat daripada sudut ekonomi, dan berusaha membawa tahap kemajuan infrastruktur di Lubok Antu setanding dengan perkembangan daerah maju lain di Sarawak.

Kesungguhan dan ketekunan untuk mencapai cita-cita sudah menjadi lumrah kehidupan masyarakat kaum Iban yang terkenal dengan kata-kata “Agi Idup, Agi Ngelaban” - sinonim dengan semangat perjuangan tanpa menyerah kalah.

Ini penting, terutama sekali dalam perjuangan dan usaha kita untuk membawa perubahan ke arah kebaikan dalam kehidupan masyarakat dan mengeluarkan daerah Lubok Antu daripada senarai 10 daerah termiskin di Malaysia.

Perbezaan fahaman politik sewajarnya diketepikan dan titik persefahaman perlu dicapai demi merealisasikan matlamat ini.

Yakinlah bahawa matlamat ini akan tercapai, semangat toleransi dikukuhkan dan semua rakyat dapat bekerjasama untuk mengangkat semula daerah Lubok Antu ke suatu tahap yang lebih baik.

Saya ingin mengkonklusikan dengan mengharapkan agar semua penyatuan semula Hari Gawai 2019 diadakan dengan semangat yang tinggi untuk memperkasakan semula suatu budaya yang hebat dan kental.

Juga kepada semua yang akan pulang ke rumah dan kampung halaman masing-masing, juga kepada mereka menyertai kami dalam Pakatan Harapan untuk merealisasikan sebuah Malaysia yang adil kepada semua rakyatnya, saya doakan semoga anda semua selamat didalam perjalanan menuju destinasi.

Sekali agi, aku meri besai terima kasih ngagai semua kitai ka bansa Dayak ke ngintu Hari Gawai Dayak taun 2019.

Gayu guru, Gerai nyamai! Angkat Rakyat Lubok Antu! Oooohaaa..

JUGAH MUYANG
Ahli Parlimen Lubok Antu