NASIONAL

Tolak tawaran rumah Selangorku, di mana silapnya?

Apr 11 2019 / Keadilan Daily

Oleh HANIZA TALHA

Kerajaan Selangor sentiasa memastikan bahawa rakyat Selangor memiliki rumah sendiri khususnya untuk golongan B40. Sebagai langkah proaktif, Selangor melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah memperkenalkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor yang lebih dikenali sebagai Rumah Selangorku 2.0 yang berkuatkuasa bermula 2 April 2018.

Melalui dasar tersebut, Rumah Selangorku dijual bermula RM42,000 sehingga RM250,000 seunit dengan keluasan lantai 700 kaki persegi sehingga 900 kaki persegi bagi perumahan jenis bertingkat manakala 700 hingga 1000 kaki persegi bagi perumahan teres atau bertanah. Rumah Selangorku merupakan rumah harga kawalan di mana harga jualannya dan pembelinya dikawal sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Setakat Mac 2019, sebanyak 49, 698 penawaran Rumah Selangorku telah diluluskan oleh pihak LPHS tetapi dukacita dimaklumkan bahawa seramai 17,514 iaitu 35 peratus pemohon Rumah Selangorku yang berdepan masalah “end-financing” berbanding seramai 24,539 pemohon yang telah berjaya mendapatkan pembiayaan perumahan daripada institusi kewangan.

Namun, penolakan penawaran Rumah Selangorku bukan sahaja disebabkan oleh masalah “end-financing” namun terdapat juga pelbagai faktor yang mempengaruhi penolakan tawaran oleh para pemohon.

Faktor utama yang mencatatkan peratusan paling tinggi untuk penolakan tawaran Rumah Selangorku adalah pinjaman yang tidak memenuhi syarat seperti komitmen pemohon yang tinggi, tiada wang pendahuluan atau deposit dan juga disenarai hitam oleh pihak bank kerana terdapat tunggakan PTPTN, kad kredit dan lain-lain.

Seramai 17,514 pemohon menolak penawaran Rumah Selangorku atas sebab-sebab yang dinyatakan dan kini tersepit untuk memiliki rumah ataupun untuk terus menyewa.

Pemudah cara

Bagaimanapun, kerajaan negeri akan terus menghulurkan bantuan dan meringankan beban pemohon bagi merealisasikan impian rakyat Selangor untuk memiliki kediaman sendiri.

Sebanyak 4,778 yang mencatatkan 10 peratus penolakan tawaran Rumah Selangorku atas faktor lokasi dan reka bentuk rumah yang ditawarkan kepada pemohon. Kebanyakan pemohon menolak tawaran pihak LPHS kerana lokasi Rumah Selangorku yang jauh daripada tempat kerja ataupun tempat tinggal terdahulu kerana pemohon lebih tertarik dengan lokasi tempat tinggal yang berdekatan dengan tempat kerja yang memudahkan pemohon untuk bergerak ke pejabat di samping dapat menjimatkan kos perjalanan ke tempat kerja.

Malahan, terdapat juga penerima tawaran menolak rumah yang ditawarkan kerana tersalah lokasi oleh pemohon. Hal ini timbul kerana pemohon yang kurang peka terhadap mukim lokasi rumah yang hendak dibeli dan pihak lembaga telah memperhalusi sistem permohonan dengan meletakkan nama projek perumahan bagi memudahkan para pemohon untuk melihat kawasan perumahan yang dikehendaki.

Terdapat juga segelintir penerima tawaran yang menolak tawaran kerana kemajuan kerja pembinaan rumah masih di peringkat awalan dan pemohon khuatir sekiranya mereka terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan unit pembelian mereka.

Hanya 4 peratus iaitu sebanyak 1,911 pemohon yang tidak dapat dikesan dan mengakibatkan penawaran terhadap mereka ditolak. Penolakan tawaran akan dilakukan secara automatik oleh pihak lembaga setelah pemohon gagal dihubungi atau pemohon gagal untuk menghubungi pihak lembaga berkenaan permohonan mereka.

Perkara ini terjadi apabila pemohon tidak mengemaskini alamat, nombor telefon ataupun alamat emel terbaru kepada pihak lembaga untuk memudahkan pihak lembaga untuk mengemukakan surat tawaran kepada pemohon sama ada melalui panggilan telefon, pesanan ringkas (SMS), penghantaran surat secara pos mahupun secara emel.

Oleh itu, para pemohon diminta untuk sentiasa mengemaskini nombor telefon, alamat tempat tinggal dan alamat emel di laman sesawang LPHS bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku. Berikutan penolakan tawaran Rumah Selangorku bagi pemohon yang tidak memenuhi syarat pinjaman pembiayaan oleh institusi kewangan, antara langkah jangka masa panjang yang diambil oleh kerajaan negeri untuk memastikan rakyat golongan B40 memiliki rumah adalah dengan memperkenalkan Skim Smart Sewa.

Objektif utama skim ini diperkenalkan adalah untuk membantu golongan yang gagal mendapatkan pinjaman perumahan supaya dapat menyewa kediaman yang disediakan oleh kerajaan negeri dengan kadar sewa yang berpatutan berbanding harga pasaran.

Tempoh sewaan minima bagi setiap penyewa adalah selama 2 tahun dan maksima selama 5 tahun. Penyewa akan mendapat pulangan semula 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih yang dibayar apabila mereka tidak lagi tinggal di unit berkenaan dalam tempoh 2 hingga 5 tahun.

Dengan pengembalian sebanyak 30 peratus wang sewaan bersih kepada pemohon, maka wang tersebut boleh dijadikan sebagai wang pendahuluan dalam pembelian Rumah Selangorku pada masa akan datang.

Kerajaan negeri melalui LPHS akan memberikan keutamaan dalam penawaran kepada pemohon berkenaan untuk ditawarkan mana-mana projek Rumah Selangorku sedia ada sekiranya terdapat kekosongan unit jika pemohon memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.

Pembelian sebanyak 983 unit rumah mampu milik telah dilaksanakan di bawah Skim Smart Sewa oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di mana syarikat Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB) dilantik sebagai ejen pengurusan bagi melancarkan pelaksanaan skim ini.

Sehingga kini, 341 unit rumah telah disewakan dengan kadar sewaan bermula daripada RM450 sebulan sehingga RM700 sebulan. Pada awal tahun 2019, sebanyak 101 unit telah disiapkan dan bakal disewakan dalam masa terdekat manakala sebanyak 541 unit dijangka dapat disiapkan pada pertengahan tahun 2019 hingga awal tahun 2020.

Memandangkan Skim Smart Sewa ini mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya daripada golongan millennial, kerajaan negeri pada tahun 2019 meneruskan pembiayaan Skim Smart Sewa dengan memperuntukkan dana sebanyak RM50 juta untuk membeli unit-unit Rumah Selangorku sebanyak 301 unit.

Kerajaan negeri dengan kerjasama pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan terus memantau dan mengkaji Dasar Rumah Selangorku dan harga jualan Rumah Selangorku dari masa ke masa berdasarkan keadaan ekonomi semasa supaya ia kekal relevan dengan kemampuan rakyat untuk memiliki rumah terutamanya bagi golongan B40 untuk memiliki kediaman mereka sendiri tanpa perlu menyewa lagi pada masa akan datang.
Penulis adalah Exco Perumahan Selangor dan Ketua Wanita KEADILAN Pusat.