NASIONAL

ADUN S’gor boleh guna peruntukan DUN untuk banjir

Nov 29 2018 / Keadilan Daily

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari tiada halangan jika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mahu menggunakan peruntukan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu mangsa banjir.

Pendirian itu dinyatakan beliau sewaktu menjawab soalan tambahan ADUN Batang Kali, Harumaini Omar yang memaklumkan dewan bahawa beliau terpaksa menggunakan peruntukan DUN bagi membantu mangsa banjir.

Amirudin berkata dengan cara itu rakyat dapat dibantu dengan segera.

“Bagaimanapun kerajaan negeri tidak pernah ketinggalan untuk turut menyediakan bantuan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini saban tahun.

“Ini ditunjukkan melalui bantuan kepada mangsa banjir kilat pada tahun 2017 iaitu sebanyak RM351,156 dan untuk tahun ini sehingga September 2018 pula ialah sebanyak RM188,155,” katanya di Dewan Undangan Negeri, lapor SelangorKini.

Tiga daerah di negeri Selangor pada 8 November lalu terjejas selepas dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat.

Smart Selangor Command Centre (SSCC), dalam satu kenyataan, memaklumkan antara kawasan yang terjejas ialah di Klang, Kuala Selangor dan Kuala Langat.