NASIONAL

Perhimpunan aman #TangkapM01 27 Ogos di Dataran Merdeka

Aug 9 2016 / Keadilan Daily

(Oleh Nadia Hanafi)

BANGSAR 9 OGOS: Gabungan #TangkapMO1 akan mengadakan perhimpunan aman 27 Ogos ini bagi mendesak Kerajaan Malaysia supaya segera mendedahkan individu yang dinamakan sebagai ‘Malaysian Official 1’ (MO1) seperti dalam laporan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (US DOJ).

Menurut jurucakap gabungan tersebut, Anis Syafiqah Md Yusof, empat tuntutan dikemukakan dalam himpunan besar ini.

M01"Kerajaan perlu mendedahkan siapa individu di sebalik nama ‘Malaysian Official 1’, Tangkap ‘Malaysian Official 1’ dan kemudian hadapkan ‘Malaysian Official 1’ ke muka pengadilan.

"Kerajaan juga perlu membebaskan institusi awam seperti PDRM dan SPRM menjalankan siasatan secara mandiri, tanpa campur tangan pihak-pihak berkepentingan," katanya pada satu sidang media di sebuah restoran, di sini.

Syafiqah berkata, himpunan aman #TangkapMO1 yang dijadualkan bermula jam 2 petang itu akan berkumpul di Sogo dan Masjid Negara sebelum menuju ke Dataran Merdeka.

"Peserta kemudian akan berjalan secara aman menuju Dataran Merdeka pada jam 2.40 petang," katanya.

Jelasnya lagi, bagi memastikan kelancaran dan keselamatan peserta, Gabungan #TangkapMO1 akan mengunakan khidmat pasukan Amal Relief Malaysia (Arif) dan juga Skuad AMK (Angkatan Muda KEADILAN) sebagai petugas keselamatan sepanjang perhimpunan berlangsung.

"Kami percaya Arif dan skuad AMK akan mampu mengawal perhimpunan dengan cekap seperti yang dibuktikan dalam perhimpunan Bersih 4.0 lalu," kata Syafiqah yang menjangkakan kehadiran 10,000 rakyat dalam perhimpunan itu nanti.

Selain itu katanya, beberapa NGO dan parti politik termasuk Pakatan Harapan juga akan turut menyertai himpunan aman #TangkapMO1 itu.