NASIONAL

Hari kedua Bersih 4, perjuangan rakyat diteruskan

Aug 30 2015 / Keadilan Daily

(Oleh: Nadia Hanafi)

 

KUALA LUMPUR 30 OGOS-  Ternyata usaha pihak berkuasa menakutkan rakyat dengan mengharamkan himpunan Bersih 4, gagal menjauhkan peserta demonstrasi berkenaan daripada membanjiri Kuala Lumpur.

Perhimpunan yang menghimpunkan puluhan ribu rakyat semalam bersambung untuk hari kedua hari ini.

Sebahahagian mereka malam tadi bermalam di sepanjang jalan, kaki lima dan khemah di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak termasuk beberapa pemimpin pembangkang seperti Mat Sabu, Lim Kit Siang, Tony Pua dan beberapa pimpinan lain.

Mereka bangun seawal jam 6 pagi bagi meneruskan perjuangan  yang mengemukakan empat tuntutan utama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

BersihPeserta beragama Islam  mengerjakan solat Subuh di masjid berdekatan, dan ada sesetengah mereka bersolat di atas jalan raya.

Manakala yang beragama Kristian, mereka menuju ke gereja St. John bagi memulakan pagi mereka.

Kira-kira jam 9.30 pagi, peserta mula berkumpul berhampiran Dataran Merdeka dan menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh semangat.

Sementara itu, jumlah kehadiran peserta dijangka bertambah dalam beberapa jam lagi sehingga menjelang detik 12 tengah malam ini.

Program pada pagi ini akan diisi dengan ucapan penganjur dan persembahan daripada kumpulan anak muda sehingga waktu rehat untuk makan tengah hari.

Setakat ini, peserta Bersih 4 memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak polis dengan berhimpun secara aman tanpa ada sebarang kejadian tidak diingini.

Semalam, puluhan ribu rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum membanjiri sekitar Dataran Merdeka. Tanpa menghiraukan amaran kerajaan, mereka  berpakaian kuning dan berkumpul di beberapa lokasi sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

Mereka membawa pelbagai sepanduk dan melaungkan slogan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.

Selain itu, pelbagai aksi dan ragam peserta dapat dilihat dalam pesta demokrasi yang jarang-jarang diadakan itu.

Di sebelah malam, peserta mendengar ucapan bersemangat disampaikan pemimpin pembangkang dan NGO dari atas badan lori yang diubah suai menjadi pentas lengkap dengan sistem pembesar suara.

Ceramah mereka juga diselangi dengan deklamasi sajak dan persembahan jenaka, selain persembahan lagu bermesej politik.