NASIONAL

Bersih: Malaysia wajib undang PBB jika yakin benar

Jun 13 2012 / Keadilan Daily

(Oleh Aisha Geoffrey)

KUALA LUMPUR 13 Jun: Jika kerajaan Malaysia yakin tentang rekod hak asasi negara ini, maka kerajaan wajib berbesar hati dan dengan tangan terbuka menjemput tiga Perwakilan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dalam kenyataan bersamanya, percaya  lawatan perwakilan khas dari PBB ini akan membantu mewujudkan asas hak asasi untuk memiliki pandangan, hak bersuara dan hak berhimpun secara aman di Malaysia.

"Dua buah negara Islam yang terbesar iaitu Indonesia dan Pakistan telah menerima lawatan Frank William La Rue - perwakilan khas untuk Promosi dan Mempertahan Hak Kebebasan Berpendapat dan Bersuara," kata Jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu juga menyebut, hak-hak asasi ini selari dengan nilai hak asasi antarabangsa, oleh itu Malaysia sebagai negara yang menjadi Ahli Majlis Hak Asasi PBB tidak perlu gentar dengan lawatan mereka.

"Bak kata pepatah Melayu, 'berani kerana benar, takut kerana salah'," kata jawatankuasa itu lagi.

Pada 7 Jun lalu, kedua-dua perwakilan iaitu Maina Kiai, Perwakilan Khas PBB tentang hak berkumpul dan hak bersuara dan Margaret Sekaggya yang khusus tentang memperkasa hak asasi manusia telah menyeru kerajaan Malaysia untuk menghormati hak asasi kemanusiaan iaitu hak untuk memiliki pandangan, hak untuk mengeluarkan pendapat dan hak untuk berkumpul secara aman.

Mereka juga sekali lagi menyatakan keinginan untuk melawat Malaysia secara rasmi.

"Oleh itu, Bersih 2.0 menyeru kerajaan Malaysia untuk mengundang dan menerima permintaan tiga Perwakilan Khas  Hak Asasi Manusia PBB untuk melawat (negara)," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Keadilan Daily melaporkan, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menolak tawaran wakil PBB, La Rue dengan alasan orang luar tidak perlu menyiasat kerana Malaysia mampu melakukannya.

Perhimpunan Bersih pada 28 April lalu itu menarik perhatian La Rue kerana berpendapat peserta tidak agresif mahupun mengingkari arahan tetapi polis yang bertindak ganas.